‘Usah ambil kesempatan’ Sultan Muhammad V mencemar duli memeriksa pembarisan kehormat pada majlis Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri sempena Hari Keputeraan baginda ke-44, di Istana Balai Besar, di Kota Bharu, semalam. - Foto Syamsi Suhaimi
Kota Bharu: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, mengingatkan pihak tertentu supaya jangan mengambil kesempatan dengan menangguk di air keruh dalam menjayakan projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai.

Baginda bertitah, projek lebuh raya itu keperluan penting kepada rakyat dan ia harus diberi keutamaan untuk dilaksanakan segera.
“Beta diberitahu kerajaan negeri akan menyelaraskan projek lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai dengan Kerajaan Persekutuan dan harapan beta pembinaannya direalisasi serta disiapkan dengan segera demi kepentingan rakyat.


Utamakan rakyat

“Biar kepentingan rakyat diutamakan dan beta menggesa semua pihak janganlah cuba menangguk di air keruh,” titah baginda pada majlis Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri sempena Hari Keputeraan baginda ke-44, di Istana Balai Besar, di sini, semalam.

Turut hadir Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-Iz Petra dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Sultan Muhammad V juga mengingatkan kerajaan negeri supaya mengurus kawasan hutan di negeri ini dengan mapan serta berhemah demi menjaga kelestarian alam sekitar, sekali gus mengelak berlaku bencana alam.
“Beta menggesa supaya kawasan hutan di negeri ini diuruskan serta dipulihara sebaiknya. Oleh itu, kerajaan (negeri) perlu mengambil perhatian dan langkah serius bagi menangani kemusnahan kawasan hutan yang boleh menjejas alam sekitar,” titah baginda.