Soalan:
Berapa peratus dari harga belian yang boleh kita ambil untung setelah kita menjual barang? Secara tunai berapa persen dan secara hutang berapa persen? Contohnya barang yang kita beli itu RM10.00, berapa persen yang kita boleh dapat se-maksima keuntunganya?
Jawapan:
Dr. Muhammad Bakr Ismail (salah seorang ulamak dari al-Azhar, Mesir) menjelaskan dalam buku himpunan fatwanya (Baina as-Sa-il Wa al-Faqih, Syeikh Dr. Bakar Ismail, hlm. 108): “Tidak ada di dalam Islam batasan tertentu bagi keuntungan (yang harus diambil dalam perniagaan atau jual-beli) mengikut pandangan yang paling soheh dari para ulamak Islam. Peniaga hendaklah menetapkan harga mengikut kadar yang diredhai olehnya dan juga diredhai oleh pembeli.
Akad jual-beli terbina di atas saling redha-meredhai antara penjual dan pembeli sebagaimana firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara saling redha-meredhai di antara sesama kamu”
- (an-Nisa’: 29).
Dari fatwa di atas kita dapat simpulkan dua perkara berkenaan penetapan harga barang/produk:
a) Tidak ada batasan tertentu dari Syarak bagi keuntungan yang harus diambil dari produk yang dijual. Jadi, penentuan harga produk/barangan terserah sepenuhnya kepada penjual/pengeluar.
b) Namun begitu, para penjual/pengeluar hendaklah mengambil kira keredhaan pengguna terhadap harga yang ditetapkan. Tidak harus ia melakukan penipuan harga atau ghabn fahisyh (yakni beza harga yang keterlaluan dari harga sebenar di pasaran) yang menyebabkan pembeli hilang perasaan redhanya terhadap jual-beli apabila mereka mengetahui nilai sebenar di pasaran. Contohnya; menjual barang yang murah dengan harga yang terlalu tinggi dengan mengeksploit kejahilan pembeli terhadap nilai sebenar barang/produk di pasaran, seperti menjual barang yang bernilai RM20 dengan harga RM100 tanpa diketahui oleh pembeli nilai sebenarnya.
Mengenai kadar beza harga yang dibenarkan –untuk mengelak dari berlakunya ghabnu fahiysh (beza harga keterlaluan) itu-, para ulamak berbeza pandangan:
a) Mengikut mazhab Malik dan Syafi’ie; tidak lebih dari 1/3 atau 34% harga pasaran (yakni jika harga pasaran RM 10.00, hendaklah dijual tidak melebihi RM13.40) b) Imam Nasir bin Yahya al-Balkhi membezakan antara tiga jenis: (1) Hartanah; jangan melebihi 20%, (2) Ternakan; jangan melebihi 10%, (3) Barangan; jangan melebihi 5%.
c) Mazhab Hanafi dan Hanbali berpandangan; kadar beza harga yang dibenarkan itu tidaklah tetap pada peratus tertentu. Ia berubah-rubah mengikut ‘uruf (kebiasaan) di kalangan para peniaga dan penilaian mereka. Pandangan inilah yang rajih kerana tidak ada nas Syarak membataskan kadar harga maksima yang boleh diletakkan, oleh demikian penentuannya kembali kepada ‘uruf manusia.
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. Baina as-Sa-il Wa al-Faqih, Syeikh Dr. Bakar Ismail, hlm. 108).2. Ar-Rabh Fi al-Fiqh al-Islami, Dr. Syamsiah Mohd Ismail, hlm. 110-113.
Cedok Dari : USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
Mantap Juga Komen TMJ nih....!!!
10 years ago
0 comments:
Post a Comment