Chong Wei terima saham RM100,000
PUTRAJAYA 15 Mac – Pemain badminton nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei hari ini menerima RM100,000 unit amanah saham Permodalan Nasional Berhad (PNB) daripada kerajaan Malaysia atas kejayaannya mempertahankan kejuaraannya pada Kejohanan Badminton All England awal pagi Isnin.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan hadiah tersebut kepada Chong Wei, yang tiba dari London pada pukul 6.45 pagi tadi, pada majlis sarapan pagi di Seri Perdana di sini hari ini.
Sementara itu, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut menyampaikan hadiah peribadinya yang merupakan sebuah jam tangan atas kejayaan Chong Wei itu.
Chong Wei pada kejohanan itu mengalahkan musuh ketatnya Lin Dan dari China 21-17, 21-17 dengan mengambil masa 52 minit pada pertandingan perseorangan lelaki Kejohanan All England di Birmingham Indoor Arena, England.
Berucap pada majlis itu, Najib berkata, beliau begitu yakin Chong Wei akan berjaya menumpaskan Lin Dan pada pertandingan itu kerana mendapati permainan Chong Wei lebih fokus dan lebih berkeyakinan, berbanding semasa bertemu Lin Dan di temasya Olimpik yang lepas.
Beliau berkata, hadiah kerajaan Malaysia itu adalah hasil perbincangannya dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, dan “kita telah bersetuju untuk memberi hadiah yang istimewa kepada Datuk Lee Chong Wei sebagai penghargaan kerajaan dan rakyat Malaysia atas kejayaan Chong Wei.”
Perdana Menteri juga berkata, sebelum bertanding Chong Wei menelefon Rosmah, yang merupakan satu tabiatnya sebelum bertanding, untuk mendapatkan kata-kata semangat.
“Pada malam itu, isteri saya telah memberi semangat kepada beliau dan berjanji akan memberi hadiah istimewa sekiranya menang dan saya juga dapat bercakap dengan Chong Wei turut berjanji akan memberi hadiah sekiranya beliau menang,” katanya.
“Pada ketika itu, dia (Chong Wei) tidak menganggap Lin Dan sebagai penentang yang tidak boleh diatasi. Chong Wei juga telah menunjukkan permainan yang begitu hebat sekali dan tidak pernah rasa tertekan tetapi sentiasa mengatur permainannya berdasarkan kepada pelan permainan.
“Pada saya, bila dia mempunyai keyakinan dan komited kepada pelan permainannya, pada masa itu dia boleh mengatasi pencabarnya yang menjadi penghalang besar kepadanya untuk mencapai kejayaan,” kata Najib.
Najib berharap kejayaannya itu dapat dijadikan satu landasan kukuh untuk negara memenangi pingat emas di Sukan Olimpik yang akan diadakan di London pada tahun depan, yang merupakan “impian kita yang masih belum tercapai,
“Ini adalah harapan saya dan juga 27 juta rakyat Malaysia. Inilah harapan yang kita anggap sebagai cita-cita besar dan impian agung yang menuntut usaha semua pihak untuk menjadikannya satu kenyataan,” katanya. – Bernama
0 comments:
Post a Comment