Orang ramai gempar dengan kemunculan seekor buaya tembaga seberat 200 kilogram di persisiran pantai Teluk Chempedak, Kuantan, semalam.
Gempar buaya tembaga muncul di pantai Teluk Chempedak
KUANTAN 14 Dis. - Orang ramai yang berkunjung ke pantai Teluk Chempedak di sini gempar dengan kemunculan seekor buaya tembaga seberat 200 kilogram yang terdampar di persisiran pantai itu malam tadi.
Reptilia sepanjang lebih tiga meter yang tersesat dari habitatnya itu ditemui terdampar di kawasan berbatu di tebing pantai tersebut.
Penolong Pegawai Pertahanan Awam (JPAM) Kuantan, Mohamad Irwanis Seni berkata, lapan anggotanya bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan orang awam kira-kira pukul 8 malam tadi.
Menurut beliau, sebaik tiba di pantai berkenaan, pihaknya terus menangkap buaya berkenaan yang didapati dalam keadaan lemah.
"Ketika ditangkap, buaya berkenaan tidak agresif dan tidak melawan.
"Berikutan itu, usaha menangkap juga jadi mudah apatah lagi buaya itu naik ke tebing pantai," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Mohamad Irwanis memberitahu, haiwan berkenaan dibawa ke pejabat JPAM di sini sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan negeri, Khairiah Mohd. Shariff mengesahkan jabatannya menerima buaya tembaga berkenaan hari ini.
"Buaya terbabit juga dilepaskan ke habitat semulajadinya kira-kira pukul 1.30 pagi tadi," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai tidak perlu risau dengan penemuan buaya berkenaan memandangkan kawasan tersebut bukan habitat reptilia itu.
Khairiah berkata, buaya tembaga tersebut mungkin tersasar keluar habitat asalnya ketika air pasang di muara Sungai Kuantan sebelum sempat kembali selepas air surut.
"Buaya tembaga itu tidak keluar ke pantai jika tiada sebab kerana di situ bukan tempat haiwan ini bermain," katanya.
Copy Paste : Utusan Online
0 comments:
Post a Comment