kesilapan  muslim di Ramadhan?
KEPALSUAN HADIS KELEBIHAN TARAWIH
Dengan  Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi Allah Subhanahu  wata'ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'alaihi  wasallam serta para sahabatnya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini  satu hadis tentang kelebihan tarawikh pada malam-malam ramadhan telah tersebar  dengan meluas sekali. Media-media elektronik,media-media cetak serta media-media  massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar,  dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan  semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin  beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu.
Hadis yang  dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh  Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut :  "Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda  berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:
·  Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia  baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).
· Malam Keempat:  Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur,  Injil dan Al-Quran.
· Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala  malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali  tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni  dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.
· Malam  Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang  musuh ketatnya Firaun dan Haman.
· Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala  orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim  A.S.
· Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat  hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W..
· Dan kelebihan-kelebihan seterusnya  sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh
Namun begitu setelah diajukan  pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanahair tentang kedudukan hadis ini,  dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan  setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain  kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu  (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis  ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis  dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya  hadis ini.
Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan  kedudukannya didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu  dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan  amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan  diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan  mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan  begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.
Rasulullah S.A.W. telah pun  memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya  dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya : Barang siapa sengaja mengadakan  dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka.  (Bukhori, Muslim)
Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai  keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas  Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat  ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan  tarhib).
Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih  dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S.A.W.  menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram  meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa  hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang  menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia  tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi,  tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad S.A.W.  di
antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan  hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat,  hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar  dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam… seterusnya dia  berkata: Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama  orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat,  kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga.  Fiman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya.  Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm:  3-4).
Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin  untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita sering  dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang mana  sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad S.A.W. seperti  contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu  meninggalkan sembahyang zohor dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya  sendiri.Jika dia meninggalkan sembahyang sembahyang asar dosanya adalah seperti  meruntuhkan kaa'bah.
.
Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah  bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis  shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan  dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan  dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)
Dan adakah tidak cukup dengan ancaman  terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran  antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan  kedalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak  mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)
Sebenarnya bagi mereka yang suka  menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti  ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan  orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun  siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.
Diantara ciri-ciri  hadis maudhu` (rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya  ialah
1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang  terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad S.A.W. atau orang yang berjuang  bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi  kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi  wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil  sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.
2. Kelebihan yang  terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan dimana ia  menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur'an  dan hadis-hadis shohih.
3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai  kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi  sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis shohih.
4. Didalam setengah  risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan  ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai dengan  kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang shohih.Yang lainnya adalah  palsu.
Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti  institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya prihatin  terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi  pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah.Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan  diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada  hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita  melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan  sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya  beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.
SELAMAT BERPUASA DAN  BERIBADAT MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W.
sumber : http://mufti.islam.gov.my/terengganu/?subid=10&parent=06
Mantap Juga Komen TMJ nih....!!!
11 years ago







0 comments:
Post a Comment